Menurut Anwar, lebih menarik, Danyal Balagopal turut menyatakan hasrat untuk kekal membantunya di Port Dickson.

“Beliau bukan seorang, ada ramai lagi. Biasa dalam politik ini ada yang enggan, ada yang umum tetapi tak berani melepaskan tapi ada yang serius dan beliau serius. Agak menarik kerana beliau mahu kekal sebagai pembantu kepada saya di Telok Kemang (Port Dickson).

“Beliau mahu terus aktif berdamping dengan saya. Ini maknanya bukan erti kata teknikal berundur tetapi beliau katakan satu penghormatan kepada kawasan Telok Kemang dan Ne­geri Sembilan, jadi beliau berikan hujah yang baik. Kalau kita teliti kenyataannya, ini sangat saya terkesan,” katanya dalam wawancara menerusi Skye dalam program AI yang disiarkan di Astro Awani, hari ini.

Danyal Balagopal hari ini meng­­­umumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil yang bakal membolehkan Anwar kembali menjadi ahli Parlimen seterusnya sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sementara itu. jelas Anwar lagi, kesediaan Danyal Balagopal untuk terus kekal berada di Port Dickson bagi membantunya sudah tentu akan memberi manfaat dalam tempoh jangka panjang.

“Saya hanya pertimbangkan bila usul itu sangat serius sehinggakan diminta secara serius untuk saya mengambil kawasan itu. Ada saya beritahu satu di utara, satu di te­ngah dan satu di selatan, tapi saya fikir tertarik pula di Telok Kemang dan saya juga terkesan dengan personaliti Danyal yang tidak berbicara soal undur tetapi soal mahu berdamping, mahu bersama, mahu jadi satu pasukan mantap.

“Jadi mungkin saya juga fikir, saya boleh bantu untuk jadikan Port Dickson sebagai satu pusat pembangunan, pelancongan dan pemuliharaan persekitaran yang indah,” katanya.