Menurut beliau, walaupun ada pihak meminta PH meletakkan calon Melayu, namun pakar bius itu diberi keutamaan kerana mempunyai sifat kemanusiaan.

Beliau mendedahkan, Streram pernah berkhidmat sebagai doktor secara sukarela di Afghanistan dan Sudan bagi membantu umat Islam yang berada dalam kesusahan.

“Dia doktor bius. Dia orang India beragama Hindu, tetapi secara sukarela pergi ke Afghanistan tolong orang Islam yang luka parah. Bukannya dibayar dan dia juga pergi Sudan jadi sukarelawan bantu orang Islam yang susah.

“Sebab itu saya tidak sampai hati nak tukar (calon) di Rantau. Saya dukacita kalau sekarang ada antara kita bangkitkan isu calon Melayu atau India. Streram pergi bertarung nyawa di Afghanistan dan Sudan mengapa kita tidak kata dia tidak perlu pergi ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perhimpunan Penamaan Calon PRK DUN rantau N27 di Dewan Orang Ramai Taman Angsamas di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Anwar baru-baru ini mengumumkan Streram yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau dipilih calon PH bagi PRK DUN Rantau pada 13 April depan.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, Streram dipilih kerana telah berjuang di mahkamah bagi membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional di DUN Rantau selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana pada waktu itu kerajaan PH baru dibentuk, manakala beliau baru keluar penjara.

Tegasnya, Streram tidak boleh diketepikan kerana beliau yang menjadi mangsa penipuan dalam PRU-14 telah berjaya mendapatkan haknya yang dinafikan dan dizalimi ketika itu.

Anwar berkata, isu kaum tidak perlu dibangkitkan kerana kaum India telah memberi kemenangan kepada calon Melayu dan kaum lain dalam PRU-14 malah semasa PRK Port Dickson.

Sementara itu, Streram memaklumkan, beliau berkhidmat sebagai doktor sukarelawan di Afghanistan pada tahun 2010 dan Sudan pada tahun 2011 di bawah program ‘Doctor Without Border’. - UTUSAN ONLINE