Anwar bagaimanapun tidak mahu peralihan kuasa kepadanya dibuat secara terburu-buru dan masih menyokong kedudukan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika ini.

Katanya, beliau mahu meneliti situasi semasa dan akan mengadakan perbincangan dengan Dr. Mahathir berhubung penyertaannya semula ke dalam Parlimen.

“Yang saya tahu pandangan konsensus daripada awal adalah peralihan kuasa harus berlaku dalam tempoh yang terdekat melalui penyertaan saya dalam Parlimen.

“Sekarang ini kita beri soko­ngan padu kepada Dr. Mahathir. Saya membuat kenyataan untuk memberikan laluan dan ruang penuh untuk beliau mengemudi kerajaan tanpa sebarang gangguan atau tekanan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dekat sini hari ini.

Peralihan kuasa dari­pada Dr. Mahathir kepada Anwar dijangka terlaksana dalam tempoh dua tahun selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, namun memerlukan Presiden PKR itu menjadi Ahli Parlimen menerusi pilihan raya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau melihat dirinya akan berperanan sebagai penyokong kerajaan pada peringkat awal setelah menjadi Ahli Parlimen sebelum memulakan sebarang proses perubahan.

“Keputusan itu (peralihan) dibuat semasa saya di penjara lagi. Konsensus itu berlaku oleh (melibatkan) semua parti, sebab itu dalam kalangan pimpinan parti semua menyatakan bahawa harus berlaku (peralihan kuasa).

“Cuma segera atau tidak, jadi saya jawab tidak perlu segera. Yang perlu disegerakan ialah proses pemilihan parti (PKR),” katanya.

Beliau menghargai komitmen beberapa Ahli Parlimen PKR yang sedia mengosongkan kerusi bagi memberikan laluan kepadanya bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) dan menganggap pelawaan itu bukan sesuatu yang janggal.

Anwar bagaimanapun membidas pandangan supaya perlu adanya Ahli Parlimen meninggal dunia agar dapat memberi peluang kepada beliau bertan­ding dalam PRK dan menganggap pemikiran sebegitu adalah tidak boleh diterima.