Calon PH bagi PRK Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PRK kali ini adalah yang pertama tidak melibatkan pengaruh pemimpin kerajaan.

“Walaupun saya pernah dikritik guna jentera kerajaan kerana naik kereta Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada satu program baru-baru ini, saya tidak fikir terlalu adil kepada saya kerana media hari ini terlalu bebas, orang boleh tegur dan saya terima baik.

“Tetapi perlu ingat, ini adalah PRK yang pertama dalam sejarah Malaysia, jentera kerajaan tidak digunakan. Kalau ada kelemahan kecil, (perlu) terima kasih juga kerana calonnya adalah Anwar Ibrahim dan kerajaan tidak pernah umum ada pembinaan sekolah baru, tidak ada masjid yang dibina sepanjang kempen, malah tidak ada peruntukan besar yang diberikan kepada masyarakat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Mesra Petugas dan Sukarelawan PH di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jentera parti atas komitmen yang cemerlang sejak hari pertama tempoh berkempen.

Justeru katanya, momentum tersebut perlu diteruskan malah diperhebatkan lagi bagi tempoh kurang dua hari sebelum pengundian, Sabtu ini.

“Sekali lagi saya mahu ingatkan semua, menang atau kalah saya di sini terserah pada pengundi serta jentera yang sentiasa ada di depan saya.

“Justeru saya minta kepada semua untuk lakukan yang terbaik dan jalankan khidmat dengan amanah terutamanya jentera di peringkat akar umbi dan kalau ada apa-apa masalah, sampaikanlah pada pimpinan kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE