Beliau yang diuar-uarkan sebagai bakal Perdana Menteri kelapan beroleh majoriti yang lebih besar iaitu 23,560 undi berbanding 17,710 undi yang dicatatkan bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Ba­lagopal Abdullah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kemenangan Anwar itu lebih bermakna memandangkan beliau berdepan dalam pertembu­ngan tujuh penjuru berbanding Danyal yang bersaing dengan dua calon lain.

Sementara itu, calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Na­zari Mokhtar meraih sebanyak 7,456 undi manakala lima calon Bebas iaitu Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad menerima 4,230 undi diikuti Stevie Chan Keng Leong (337 undi), Lau Seck Yan (214 undi), Kan Chee Yeung (154 undi) dan Mohd. Saiful Bukhari Azlan (82 undi).

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Khairy Maamor di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini, malam ini.

Khairy turut mengumumkan sebanyak 58.2 peratus daripada 75,508 pengundi berdaftar ke­luar mengundi hari ini manakala 598 kertas undi ditolak manakala 49 kertas undi tidak dikembalikan.

Berikutan kemenangan itu, Anwar yang dijadual mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson Isnin ini bakal melangkah kembali ke Dewan Rakyat selepas kali terakhir bergelar Ahli Parlimen Permatang Pauh tiga tahun lalu.

Gandingan Anwar bersama isterinya yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta anak mereka, Nurul Izzah Anwar mencatatkan sejarah baharu dalam arena politik tanah air dengan menyaksikan tiga wakil rakyat keluarga berada di Dewan Rak­yat dalam penggal yang sama.

Sebelum ini, Anwar dan Wan Azizah mencatatkan rekod sebagai pasangan suami isteri pertama yang menjadi Timbalan Perdana Menteri selain pernah bergelar Ahli Parlimen Permatang Pauh yang kini disandang oleh Nurul Izzah.

Pas sebelum ini membangkitkan kelayakan Anwar bertan­ding memandangkan beliau hanya dikurniakan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan bukannya pengampunan bebas di bawah Perkara 48 (1) (e) yang melayakkan Presiden PKR itu bertanding di mana-mana kerusi Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak bantahan Pas manakala Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Oktober lalu menetapkan 8 November ini untuk mendengar permohonan Anwar membatalkan permohonan yang dikemukakan oleh seorang pengundi di Port Dickson bagi mendapat perisy­tiharan beliau tidak berhak bertanding di mana-mana kerusi Parlimen sehingga tempoh hilang kelayakannya tamat di­sebabkan status pengampunannya yang dipertikaikan.