ANWAR IBRAHIM
ANWAR

Menurut Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, pendekatan Anwar itu adalah lebih cermat berbanding Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan, Datuk A. Kadir Jasin.

Beliau berkata, sebagai seorang yang cukup berpengalaman dan veteran dalam bidang kewartawanan, A. Kadir sepatutnya maklum mengenai batas-batas isu yang tidak sewajarnya dibangkitkan tanpa mengira apa juga alasan beliau.

Reezal Merican memberitahu, fikrah dan aspirasi 'Malaysia Baharu' seharusnya lebih bijaksana dan mempunyai piawai yang tinggi dalam menyantuni Yang di-Pertuan Agong dan institusi raja.

“Yang di-Pertuan Agong dan institusi raja secara keseluruhannya tidak wajar sama sekali diheret ke dalam kancah perseteruan politik, malah harus diletakkan di aras penghormatan yang lebih tinggi.

“Pendirian tegas Anwar pastinya berbeza dengan sikap kurang waspada yang ditampilkan oleh individu seperti A. Kadir. Menggunakan alasan 'pandangan peribadi' sebagai benteng membenarkan 'serangan halus' terhadap Yang di-Pertuan Agong dan institusi raja ini amat-amat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menerusi catatan dalam laman blog peribadinya, A. Kadir mendakwa Sultan Muhammad V membelanjakan kira-kira RM257 juta dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Walau bagaimanapun, tindakan itu mendapat kritikan Anwar yang mendakwa A. Kadir menggunakan kedudukannya yang dekat dengan kerajaan untuk menyerang institusi raja dengan fakta yang boleh dipertikaikan.

Reezal Merican menambah, sebagai seorang yang berada dalam paksi kepemimpinan kerajaan, sikap dan pandangan A. Kadir itu adalah tidak wajar dan hanya memburukkan lagi keadaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berpendapat, kerajaan seharusnya mengambil berat terhadap peringatan Anwar dalam isu itu.

“Adalah menjadi harapan dan prinsip peribadi saya agar perkara-perkara tonggak dan teras yang terabsah di dalam Perlembagaan Persekutuan sentiasa dihormati dan dijunjung oleh kerajaan sedia ada,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE