Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya me­nerima pencalonan Anwar berdasarkan pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu.

“Namun begitu, kami sedar tentang proses perunda­ngan yang sedang berjalan di mahkamah ketika ini.

“Terpulang kepada hakim untuk membuat keputusan dalam perkara tersebut dan saya tidak boleh bercakap tindakan yang boleh diambil SPR, sehingga hari ini Anwar adalah calon dan akan menyertai PRK Port Dickson,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan meninjau perjalanan proses pengundian awal di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, hari ini.

Seorang pengundi berdaftar di Port Dickson, Noraziah Mohd. Sharif, 38, baru-baru ini mengemukakan saman pemula bagi memohon perisytiharan mahkamah bahawa Anwar tidak layak bertanding untuk mana-mana kerusi Parlimen.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 8 November ini untuk mendengar permohonan Anwar membatalkan permohonan yang dikemukakan oleh seorang pengundi di Port Dickson bagi mendapat perisytiharan bahawa Presiden PKR itu tidak berhak bertanding di mana-mana kerusi Parlimen sehingga tempoh hilang kelayakannya tamat disebabkan status pengampunannya yang dipertikaikan.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, pihaknya berpegang kepada keputusan Yang di-Pertuan ­Agong, Sultan Muhammad V yang memberi pengampunan penuh kepada Anwar sekali gus melayakkan beliau bertanding.

Beliau menjelaskan, rakaman video yang memaparkan Anwar menerima pengampunan bebas yang dimuat naik dalam media sosial juga membuktikan bahawa calon PH itu kini tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kita perlu menghormati keputusan Yang di-Pertuan ­Agong dan mengelak daripada mempertikaikannya,” jelasnya.