Katanya, beliau tidak akan mensia-siakan amanah yang diserahkan padanya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini.

"Saya bertekad untuk menjadi Ahli Parlimen yang benar-benar prihatin untuk membangunkan Port Dickson dan menjaga kepentingan rakyat.

"Walaupun sudah menjadi ahli politik untuk tempoh yang lama tetapi sejarah baharu saya akan bermula di Port Dickson," katanya dalam ucapan kepada lebih 5,000 penyokong di pekarangan Bilik Gerakan Utama PH, di sini malam ini.

Menurutnya, walaupun tidak dapat menjanjikan projek pembangunan sepanjang tempoh berkempen, beliau telah merangka beberapa program bagi manfaat rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

"Antaranya ialah menyegerakan kemudian hospital rakyat dan program turun padang membersihkan pantai bersama rakyat," ujarnya.

Tambahnya, beberapa perjumpaan dengan pihak berkepentingan seperti veteran tentera juga telah diatur oleh beliau.

Anwar memberitahu, beliau telah menghubungi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan mengenai kemenangannya dalam PRK tersebut.

"Sebaik keputusan diperoleh saya telefon Tun Dr. Mahathir yang bertanya keputusan.

"Dia kata bagus Port Dickson apabila saya beritahu bahawa majoriti yang diperoleh kali ini lebih tinggi berbanding keputusan pilihan raya umum lalu," katanya. - UTUSAN ONLINE