Menurut calon Pakatan Harapan (PH) itu, beliau menghargai peranan kedua-dua pihak bagi memastikan pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara. 

“Kita akan cuba sedaya upaya ikut tetapi kadangkala perlu ada kelonggaran diberikan kepada calon. 

“Seperti semasa saya menaiki kereta Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk berbincang kira-kira 10 minit baru-baru ini yang ditegur sebagai salah guna. Bukannya saya berkempen. Saya fikir SPR perlu pertimbanglah. 

“Yang penting tidak ada menteri umumkan projek semasa PRK, itu salah guna paling besar tetapi tidak berlaku kali ini,” katanya dalam sidang akhbar dalam Program Santai Pagi di Taman Tanjung Gemok di sini pagi tadi. 

Pengerusi SPR, Azhar Azizan baru-baru ini mengingatkan supaya aset atau kemudahan kerajaan tidak digunakan bagi tujuan kempen dan suruhanjaya itu mengambil perhatian terhadap perbuatan yang menimbulkan reaksi negatif semasa PRK kali ini. 

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau dan pemimpin PH menyambut baik arahan SPR supaya menteri Kabinet dan ahli politik yang memegang jawatan dalam kerajaan tidak berkempen semasa waktu bekerja. - UTUSAN ONLINE