Menurut Presiden PKR itu, beliau berbuat demikian kerana mereka kini bersependapat dalam perjuangan untuk menyelamatkan negara daripada sebarang salah laku yang dilakukan pemimpin terdahulu.

“Saya dengan Tun (Dr. Mahathir) kawan baik sekarang. Sebab apa kita maafkan dan kita kini maju?, sebab yang kita fikirkan adalah suara rakyat.

“Yang nak marah lama-lama pasal apa? Ini sama-sama kita pun nak bergaduh, bertumbuk, sedangkan saya dengan Mahathir pun dah baik dah,” katanya sambil disambut dengan gelak tawa para hadirin.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Agenda Malaysia Baharu kepada kepe­mimpinan dan seluruh ahli PKR Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.

Anwar dalam pada itu mengarahkan supaya pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini agar tidak ditangguhkan semata-mata untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson di Negeri Sembilan yang bakal ditandinginya.

Menurut beliau, ini kerana ahli PKR sudah bersiap sedia sejak sekian lama untuk menghadapi pemilihan dan kini berada pada peringkat akhir.

“Bagi saya kita perlu fokus kepada kedua-dua ini sekali gus iaitu pemilihan parti dan juga PRK. Tidak perlu kita tangguhkan pemilihan kerana PRK kita ada jentera manakala selebihnya kita tawakal kepada Allah,” kata beliau.

Anwar turut menyambut baik hasrat mana-mana pihak untuk membantu beliau berkempen pada pilihan raya kali ini tanpa mengira fahaman politik individu terbabit.

Katanya, walaupun keputusan mengenai jentera ditentukan oleh jawatankuasa pilihanraya parti namun bagi beliau, soko­ngan daripada pihak lain diteri­manya dengan hati terbuka.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohammed Nazri Aziz yang memaklumkan kesediaannya untuk membantu Anwar bekempen pada PRK Port Dickson.