Tanpa menamakan ketiga-tiga negeri dan kerusi tersebut, Anwar menjelaskan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat bagi membolehkan beliau kembali ke Parlimen.

“Ada tiga kerusi Parlimen, masing-masing satu di negeri utara, tengah dan selatan menawarkan kerusi mereka dan saya kini sedang menimbang untuk memilihnya.

“Kalau saya datang ke Negeri Sembilan, saya harap orang di sini menyokong saya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat Reformasi Sempena Ulang Tahun Ke-20 PKR di Dewan Perdana di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar.

Menurut Anwar, beliau perlu berada di Parlimen bagi memperkuatkan PKR yang mempunyai wakil rakyat paling ramai.

Katanya, beliau tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang memimpin PKR sejak awal penubuhannya sehingga kini.

“Semasa ditubuhkan pada 1999, parti kita tidak ada wang dan tekanan begitu hebat, saya pula berada di penjara. Pada 2018 kita menang dan saya dibebaskan, takkan saya lupa walaupun saya ambil alih kepimpinan parti,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE