Beliau turut mempertikaikan, Anwar sebagai bakal Perdana Menteri sepatutnya terlibat awal dalam proses dasar agar pemindahan kuasa kelak berlaku dengan lebih licin.

Pada masa yang sama, Hizatul Isham mempersoal mengapa isteri Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri juga tidak dilantik dalam majlis tersebut. 
       
“Kebiasaannya, Timbalan Perdana Menteri terlibat sama dalam urusan dasar kritikal seperti ini. Contohnya, semasa zaman Barisan Nasional (BN) dahulu Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan Jawatankuasa Menangani Kos Sara Hidup terlibat juga dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi.

“Kini suami isteri ini langsung diketepikan. Kenapa ya ? Siapa boleh jawab, andalah terbaik,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan beliau dan 16 ahli merangkumi beberapa menteri Kabinet, tokoh-tokoh ekonomi serta pemimpin-pemimpin industri.

Kata beliau, penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi bertujuan meneliti serta membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat. - UTUSAN ONLINE