Secara santai, Anwar menyanyikan semula lagu tersebut dengan mengubah sedikit lirik agar relevan dengan perjuangan 20 tahun reformasinya.

“Memang lidah tak bertulang, tak berbekas kata-kata,, tinggi gunung seribu janji, lain di bibir lain di hati.

“20 tahun takkan lama, hanya sekejap saja, tak lama.. hanya sekejap saja, kita kan berjumpa jua,” dendang Anwar sambil turut dinyanyikan bersama oleh kira-kira 50 ahli Reformis 98 Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, ketika berucap sebelumnya, Anwar berkata,  jika seseorang itu mempunyai pendirian dan prinsip, ikhlas dalam perjuangan, tempoh 20 tahun itu bukanlah waktu yang lama.

“Dalam gerakan reformasi saya takkan lupa bahawa, apa yang kita saksikan hari ini adalah bibit permulaannya gema reformasi iaitu titik pembaharuan dan perubahan selepas badan kehakiman tempang, media yang tersekat dan rasuah yang menjadi budaya.

“Kita lawan kezaliman dan rasuah ini dan sekarang ada komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan dan menteri-menteri yang terus komited untuk membawa perubahan ini, saya sebagai calon dalam pilihan raya kecil ini akan terus memegang obor reformasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE