Bekas Pengerusi PKR Kelantan, Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, senarai Lantikan Majlis Pimpinan Pusat Keadilan 2018-2021 yang dikeluarkan semalam membuktikan Anwar sudah hilang taring dan 'out of touch' dengan akar umbi parti itu.

"Tidak tahu apa rasionalnya melantik mereka yang telah gagal di dalam pemilihan baru-baru ini. Presiden Keadilan (PKR) seolah-olah sedang mencipta formula kegagalan untuk parti yang beliau tubuhkan sendiri.

"Secara jelas Presiden tidak faham atau tidak mahu memahami aspirasi anggota PKR kerana mengutip balik calon-calon yang gagal dalam pemilihan tanpa memikirkan kesan yang amat negatif terhadap parti ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Anwar dalam satu kenyataan rasmi mengumumkan beberapa jawatan utama kepemimpinan parti menerusi lantikan termasuk bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dilantik menjadi Naib Presiden.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertikaikan pelantikan dibuat Anwa dengan menyifatkan tindak-tanduk beliau sebenarnya telah membelakangkan pandangan akar umbi.

Mengulas lanjut, Ab. Azi yang juga Ketua PKR Cabang Ketereh berkata, kegagalan presiden untuk menyedari hakikat aspirasi golongan akar umbi amat memalukan dan tidak selaras dengan prinsip demokrasi parti.

"Ini bukan kegagalan pertama Datuk Seri Anwar sebagai presiden, kerana pilihan yang meragukan ini turut terjadi dalam lantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri yang telah diumumkan beberapa minggu lepas.

"Saya berharap Datuk Seri Presiden dapat bermuhasabah dan sedar bahawa tindakan beliau ini akan menghancurkan semangat dan aspirasi akar umbi yang selama ini begitu berharap agar PKR dapat dibawa ke mercu yang lebih tinggi," katanya. - UTUSAN ONLINE