Kemenangan besar itu disifatkan Anwar sebagai sokongan padu yang diberikan oleh pengundi Melayu yang majoriti di kawasan berkenaan serta kaum lain termasuk Orang Asli.

Justeru Anwar berazam memberi khidmat terbaik kepada penduduk di sini, termasuk menyelesaikan masalah hospital setempat yang perlu perhatian segera.

Kata beliau, dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bagan Pinang yang Pakatan Harapan (PH) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kini dimenangi dengan majoriti bergaya.

“Keputusan ini saya kira luar daripada jangkaan sebab majoriti diperoleh cukup meyakinkan.

“Dan paling berkesan popular mungkin mencecah 70 peratus berbeza dengan undi popular Pilihan Raya Umum sekitar 48 peratus,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH bagi PRK Parlimen Port Dickson di sini, malam ini.

Presiden PKR itu menambah kata, undi tentera yang dahulunya tidak memihak kepada PH kini menyaksikan lonjakan setinggi 122 peratus.

Beliau turut berjanji untuk memberi yang terbaik kepada penduduk Port Dickson yang telah memilihnya sebagai Ahli Parlimen mereka yang baharu.

“Di Parlimen, saya jangka angkat sumpah jawatan Isnin ini dan akan membantu senior saya, Lim Kit Siang untuk melaksanakan reformasi Parlimen,” jelasnya.

Anwar turut menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. - UTUSAN ONLINE