Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah itu, kehadiran Mohamad sebagai ADUN Rantau dalam sidang DUN negeri akan membawa kesan baik kepada kerajaan kerana beliau merupakan pemimpin berpengalaman.

“Beliau pernah menjadi menteri besar selama tiga penggal, tegurannya kepada pentadbiran sekarang boleh buat kita bekerja lebih baik.

“Kita kena ambil pendekatan positif terhadap teguran dan saranan, ambil perhatian. Jangan ada pemikiran lama dengan kita meminggirkan suara pembangkang.

“Kita mesti bersikap terbuka, dalam demokrasi mesti ada pandangan berbeza dan lihat isu dari pelbagai perspektif. Selepas ambil kira semua pandangan, kita sebagai kerajaan kerana berani, tegas dan laksanakan sungguh-sungguh. Itu aspek yang rakyat hendak lihat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban turut menegur Speaker DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar yang kerap mencelah semasa perbahasan pada hari kedua persidangan tersebut.

“Saya sekadar hendak berkongsi pengalaman bukan mengajar Speaker. kalau boleh kurangkan mencelah. Speaker tugasnya mempengerusikan sidang, bukan berceramah.

“Kita kena ada pengasingan kuasa. Dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri, Speaker tak boleh campur. Dalam masa sama urusan DUN, menteri besar tak boleh masuk campur. Pengasingan kuasa mesti dihormati,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE