Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau turut khuatir kecenderungan pembangkang menggunakan berita palsu sebagai senjata terakhir mereka untuk meraih sokongan rakyat pada pilihan raya akan datang.

“Pelaksanaan undang-undang itu bukan untuk kepentingan kerajaan semata-mata, bahkan untuk kemaslahatan semua pihak. Adakah pihak pembangkang suka apabila mereka menjadi alat atau mangsa berita palsu? Saya percaya mereka juga tidak suka.

“Namun, kenapa Kit Siang cuba menolak usaha berkenaan? Sebab saya percaya mereka (pembangkang) merancang untuk menggunakan berita palsu sebagai senjata terkahir bagi menghadapi kempen pilihan raya nanti sebagaimana yang telah berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Biro IT dan Media Sosial UMNO Kelantan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Annuar mengulas kenyataan Kit Siang yang mendakwa kononnya pengumuman kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu sebagai tidak meningkatkan keyakinan rakyat kerana kerajaan Barisan Nasional serta UMNO merupakan penyumbang terbesar berita palsu di negara ini. - UTUSAN ONLINE