Annuar Musa

Beliau menzahirkan ucapan ‘penghargaan’ kepada Kit Siang yang merupakan Penasihat DAP kerana berjaya mencapai ang­ka 50 tahun menguasai sebuah parti dalam arena politik negara, selain terus menyambung perkhidmatannya di Parlimen.

Lebih membanggakan kata Ketua Penerangan UMNO itu ialah apabila Kit Siang berjaya melakukannya hanya dengan retorik politik yang tidak pernah berubah sejak dahulu lagi.

“Dalam sejarah politik dunia, kita lihat Tun Dr. Mahathir Mohamad, 23 tahun mentadbir, Saddam Hussain (30 tahun), Robert Mugabe (37 tahun); pe­mimpin Korea Utara, Kim il-Sung (46 tahun) dan Gelang Patah (Kit Siang) capai 50 tahun dengan hanya retorik politik, saya ucap tahniah kepada beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tindakan Annuar menyindir Kit Siang itu bukan sahaja menimbulkan rasa kurang se­nang pemimpin DAP tersebut tetapi turut menyebabkan Ahli-ahli Parlimen DAP panas punggung sehingga seorang demi seorang bangkit mencelah cuba mempertahankannya.

Perbuatan itu disifatkan Annuar sebagai menunjukkan warna sebenar pemimpin politik berkenaan kerana hakikatnya ketika Kit Siang berbahas sebelum itu tiada gangguan ditimbulkan waima oleh seorang pun ahli Parlimen BN.

“Ini adalah satu contoh yang nyata, saya dan rakan-rakan BN boleh duduk diam 20 minit memberi peluang dan penghormatan dengar setiap hujah Gelang Patah (Kit Siang) dalam dewan yang mulia ini.

“Saya boleh sabar tetapi giliran saya baharu sebut sedikit, beliau dah melenting, beliau telah tunjukkan warnanya yang sebenar,” jelas Annuar.

Menurut Annuar, BN yang merupakan sebuah barisan prorakyat tidak gusar untuk berhadapan dengan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti selagi pakatan itu diketuai oleh DAP.

Beliau juga percaya sehingga ke hari ini politik pembangkang tetap dikuasai oleh DAP dengan cara mereka sendiri.

Dalam pada itu, Annuar turut berpandangan tindakan Kit Siang yang secara semberono menentang rang undang- undang-undang persendirian dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen menyerlahkan sikap tidak menghormati Islam.

“Saya berpendapat dalam banyak perkara, masyarakat merasakan hal ehwal Islam tidak disokong Yang Berhormat. Sama ada nak guna istilah anti-Islam atau tidak, barangkali rakan-rakan dalam Pas lebih mengetahuinya,” ujar beliau.