Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Elmi Yusoff dalam satu kenyataan memberitahu, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah perkenan untuk mengadakan majlis itu petang ini.

Walaupun tiada makluman tentang siapa Menteri Besar yang bakal dilantik itu namun banyak meramalkan bahawa beliau dari Pakatan Harapan dengan dua nama disebut-sebut iaitu, Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah.

Media turut memperoleh satu jemputan sidang akhbar di kediaman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Titi Gajah selepas majlis pelantikan tersebut.

Pakatan Harapan memperoleh 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 daripada keseluruhan 36 kerusi manakala Pas memenangi 15 kerusi dan baki tiga milik BN.

Kerajaan negeri baharu masih tidak dapat dibentuk selepas PRU-14 kerana tiada kemenangan dengan majoriti mudah.

Penyelesaian ke arah itu juga sebelum ini dikaitkan dengan pembentukan kerajaan campuran antara parti-parti tersebut. - UTUSAN ONLINE