Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, permohonan bagi peruntukan itu dibuat Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Menurutnya, pada 9 Ogos 2017, Najib bersetuju dengan permintaan itu lalu meminitkan surat berkenaan kepada bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar.

“Kebiasaannya apabila Perdana Menteri memberi persetujuan dalam urusan sebegini, proses manifestasi cadangan terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang mana ia dimuktamadkan dengan dana yang boleh diguna pakai.

“Peruntukan RM36 juta ini disalurkan kepada 22 SJKT selepas PRU-14 dengan harapan Barisan Nasional (BN) mengekalkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan dalam akaun Facebooknya hari ini.

Semalam, Maszlee sekali lagi me­nempelak bekas Presiden UMNO itu yang dilihat cuba mengalihkan perhatian berhubung peruntukan SJKT di negara ini.

Beliau berkata, Najib perlu menjawab persoalan lebih utama berhubung misteri ‘peruntukan’ RM39.7 juta bagi 13 SJKT yang dijanjikan kerajaan BN sebelum ini tanpa mendapat peruntukan dan kelulusan Kabinet.

Kamalanathan yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC berkata, apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan selepas PRU-14, Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan baharu, Datuk Ahmad Badri Mohd. Zahir mungkin terlepas pandang akan kelulusan terbabit.

Katanya, Najib merupakan satu-satunya Perdana Menteri yang benar-benar prihatin kepada kemajuan infrastruktur SJKT di negara ini.

“Di bawah pentadbiran beliau, dari tahun 2009 hingga 2018, hampir RM900 juta peruntukkan disalurkan kepada semua 524 SJKT menerusi akaun sekolah atau lembaga pengelola sekolah untuk baik pulih kemudahan,” katanya. - UTUSAN ONLINE