Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, kelulusan itu diperoleh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 23 Oktober lalu selepas pihaknya membuat permohonan rasmi pada pertengahan tahun ini.

“Kebenaran ini diberikan hanya kepada pegawai dan anggota bomba yang bertugas di seluruh negara tanpa mengira waktu siang atau malam ketika PRU.

“Mereka perlu mengisi borang yang diberikan oleh SPR untuk membuang undi dalam PRU nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis perhimpunan bulanan JBPM di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd. Nor, hari pengundian ketika pilihan raya merupakan waktu yang paling kritikal kerana pihaknya perlu menjaga pelbagai aspek keselamatan dan tidak boleh meninggalkan tempat pengiraan undi.

Sehubungan itu, katanya, cuti anggotanya juga akan dibekukan seminggu sebelum dan selepas PRU bagi membuat persiapan rapi. - UTUSAN ONLINE