Keputusan dibuat oleh pimpinan Pakatan Harapan Pusat beberapa hari lalu bagi meleraikan kekusutan yang hampir memutuskan ikatan persefahaman mereka setelah  Pakatan Harapan negeri gagal menyelesaikan beberapa kerusi yang melibatkan tuntutan bertindih setelah berbincang sesama mereka beberapa kali.

Tindakan Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Datuk Raja Kamarul  Bahrin Shah yang  juga teraju PAN negeri menyerahkan kepada Pusat untuk membuat kata putus mendedahkannya kepada kecaman dan kritikan sehingga kewibawaan kepemimpinannya dan juga parti dipersoalkan.

Sehinggakan timbul desas-desus dalam konteks Terengganu bahawa lebih baik diwujudkan satu lagi pakatan di dalam pakatan itu di negeri ini apabila merasakan PAN yang menuntut lebih banyak kerusi tidak mengukur baju sendiri apabila dianggap tidak boleh disandar harap membawa kemenangan dengan tahap keupayaan menarik penyokong Pas untuk berpaling tadah.

PPBM diagihkan Kuala Besut, Hulu Besut, Langkap, Batu Rakit, Tepuh, Ladang, Pengkalan Berangan, Kijal  Ajil dan Bukit Besi manakala PKR pula di  Kota Putera, Permaisuri, Seberang Takir, Bukit Tunggal,  Bandar, Alur Limbat, Kuala Berang, Rantau Abang, Telemong, Cukai dan Air Putih.

 PAN yang mengharapkan kawasan  yang lebih banyak sebelum ini dengan  keutamaan di kawasan yang dikuasai Pas  terpaksa berpuas hati  dengan agihan kerusi Jertih, Jabi, Teluk Pasu, Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Bukit Payung, Rhu Rendang, Manir, Sura, Paka dan Kemasik.

Soal asas dalam pakatan itu telah selesai dan beberapa kerusi yang dituntut oleh PAN yang menimbulkan kekusutan hubungan sebelum ini telah diperoleh  seperti Sura, Kemasik dan Batu Buruk namun terlepas Ladang setelah diagihkan kepada PPBM.

Keputusan yang dianggap oleh setengah kalangan sekadar di buat atas kertas oleh Pakatan Harapan Pusat itu turut menyimpang daripada ketetapan awal di peringkat negeri yang mahu mengambil kira taburan semua parti bertanding di DUN dalam setiap Parlimen.

Jika mana-mana parti bertanding bagi kerusi Parlimen, dua kerusi DUN dalam Parlimen berkenaan harus diwakili oleh parti yang sama bagi nengukuhkan tunjang namun ini tidak berlaku bagi Parlimen Dungun yang bakal ditandingi PKR, apabila memperoleh  hanya satu kerusi DUN Rantau Abang.

Di Hulu Terengganu pula, PPBM yang bakal bertanding kerusi Parlimen turut memperoleh satu kerusi iaitu Ajil manakala Telemong (kubu kuat UMNO) pula diserahkan kepada PKR.

Pembahagian telah selesai, namun  riak tidak puas hati kalangan tertentu mula kelihatan apabila peluang yang awalnya dirasakan terbuka luas untuk mereka menjadi calon dengan kewujudan parti-parti  baharu mulai tertutup.

Ia mungkin menjadi gelombang penolakan jika calon-calon yang bakal diketengahkan kelak pula tidak dapat diterima. Situasi itu harus dielakkan kerana jika berlaku bakal meletakkan Pakatan Harapan dalam keadaan jauh lebih sukar, walaupun sekadar untuk memacak bendera ketika semuanya baharu bermula. - UTUSAN ONLINE