Ketuanya, Ahmad Faisal Mohd. Puait berkata, Malaysiakini perlu meminta maaf walaupun telah mengubah tajuk analisis dalam portalnya namun isi kandungannya tetap sama.

Menurutnya, analisis bertajuk ‘13 Mei, moga tak berulang: Rusuhan 1969 yang mengubah Malaysia’ merupakan huraian sejarah yang salah dan akan membangkitkan amukan sesetengah kaum kerana merasakan kelompok mereka dipersalahkan dan ditindas.

“Pemuda Pas kekal dengan pendirian supaya Malaysiakini meminta maaf kerana analisis tersebut. Isu ini harus ditutup, jangan disebut lagi kerana ia akan jejas perpaduan

kaum.

“Kenapa tiada tindakan daripada kerajaan terhadap portal berkenaan?. Paling kurang amaran patut diberikan, kalau amaran pun tiada macam mana perkara ini hendak selesai.

“Jika dahulu Kementerian Dalam Negeri (KDN) pernah menarik permit akhbar Utusan Malaysia dan Harakah kerana menyiarkan berita yang mengancam perpaduan negara, tetapi sekarang kita tak dengar apa-apapun daripada KDN,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, mengulas perkara yang sama, pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, Pemuda Pas tidak harus gusar dengan isu

peristiwa 13 Mei 1969 yang dianalisis oleh Malaysiakini.

Menurutnya, hanya mereka yang berasa bersalah dan tidak mempunyai kematangan intelektual sahaja yang berasa takut terhadap analisis portal tersebut.

Menurut beliau, selepas 50 tahun insiden berdarah itu, rakyat harus diberi peluang untuk melihat versi dan sisi yang berbeza daripada apa yang mereka dengar selama ini.

“Versi yang lain dari propaganda UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus diketengahkan.

“Apatah lagi ia menyentuh dakwaan perebutan kuasa dalam UMNO ketika itu khususnya usaha menyingkirkan Tunku Abdul Rahman oleh Tun Razak Razak,” katanya kepada Utusan. - UTUSAN ONLINE