Selepas bergabung tenaga dengan rakan-rakannya, mahasiswa ta­hun tiga jurusan Kimia, Universiti Manchester, United Kingdom itu menganjurkan #Manchesterkita, sebuah program mengetengahkan kepelbagaian budaya Malaysia dari­pada makanan sehingga kepada muzik dan sukan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara (Salford & Manchester) menambah, #Manchesterkita yang berlangsung seminggu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat termasuk menerima kehadiran pelawat dari luar daerah seperti London, Liverpool dan Shefield.

“#Manchesterkita merupakan platform terbaik untuk kami mendekatkan diri, beramah mesra dan mengeratkan hubungan dengan penduduk setempat serta luar dari Manchester,” katanya ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (PWTC), hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Ameer berkata, Kelab UMNO Luar Negara banyak membantu dari segi sokongan, tunjuk ajar dan dana bagi menjayakan #Manchesterkita.

“Dengan sambutan yang amat me­nggalakkan ini, ka­mi bercadang untuk mengadakan #Manchesterkita 2 dengan menambah program lain seperti pertunjukan fesyen pakaian-pakai­an tradisional di negara kita,” katanya.

Menyentuh menge­nai penglibatan dalam po­litik, anak jati Klang, Selangor itu berkata, Kelab UMNO Luar Negara banyak membantunya memahami hal-hal berkaitan pentadbiran, pengurusan dan politik.

“Selain menambah il­mu pengetahuan, saya ma­­hu berbakti kepada masyarakat, serta menambah lagi kawan-kawan apa­tah lagi hidup di negara orang memerlukan kita untuk bergaul dengan semua orang,” ujarnya.