RAMESH RAO
RAMESH RAO

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao Krishnan berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang selaku pemimpin yang berpengalaman dalam pembangkang perlu menyelar atau membidas ucapan Dr. Mahathir Sabtu lalu kerana berbaur perkauman.

Katanya, langkah itu perlu diambil kerana sebelum ini Pakatan Harapan yang diketuai DAP mendakwa kesemua parti dalam pembangkang mendukung semangat keharmonian kaum dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa di negara ini.

“Malangnya sehingga hari ini, Kit Siang hanya berdiam diri dan membiarkan Dr. Mahathir menyerang orang lain dengan menggunakan isu perkauman sehingga menyentuh asal usul keturunan pihak lain.

“Kit Siang begitu marah kepada orang ramai yang mempersoalkan asal usul keturunan beliau sama ada dilahirkan di sini atau berasal dari China, tapi beliau seolah-olah buat tak tahu apabila Dr. Mahathir mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

“Tindakan Kit Siang itu jelas beliau pilih bulu ke atas individu tertentu sahaja dan bukan terhadap mereka yang bersekongkol dengan Pakatan Harapan yang diketuai DAP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sabtu lalu, Dr. Mahathir semasa berucap dalam perhimpunan haram diketuai DAP di Padang Timur Petaling Jaya itu menggelar keturunan Bugis sebagai lanun selain menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berasal daripada keturunan sama sebagai penyangak dan pencuri. - UTUSAN ONLINE