Gema suara perwakilan itu kalau ‘dibaca’, bermaksud ‘teruskan, teruskan lagi’ ketika Najib bersemuka secara berdepan dengan pengkritik-pengkritiknya yang berada dalam satu majlis dengannya.

Tun Dr. Mahathir Mohamad beberapa meter di depannya; Tan Sri Muhyiddin di belakangnya dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di se­belah kanan beliau.

Bagaimanapun semalam, apabila perwakilan Perak, Senator Datuk Hamzah Mohd. Kassim cuba ‘masuk jarum’ untuk ‘membawa’ perwakilan mencela sama pengkritik parti berkenaan, perwakilan riuh-rendah. Ada melaungkan ‘boo’ terhadap Hamzah.

Syukurlah Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin berulang kali menegur Hamzah dan me­mintanya jangan lagi berbuat demikian.

Senario itu bermakna UMNO tetap mengekalkan adab tatasusilanya, biarpun terhadap pengkritik.

UMNO tidak mahu ada pihak cuba mencurah minyak ke api. Presiden memang berhak bersemuka dengan pengkritiknya dan memperjelaskan suara hatinya. Tetapi tidak perlu ada pihak lain cuba menangguk di air keruh.

Najib dan Badruddin mahu parti fokus ke depan. Yang berlalu, biarkanlah - buka buku baharu.

UMNO sedar apabila pohon rebah, kura-kura pun naik.

Dalam UMNO sendiri ada individu cuba mengambil kesempatan untuk menggesa tuntutan mereka diterima. Ini supaya menjadi batu loncatan politik mereka.

Namun UMNO harus melihat perkara ini dari dalam dan memperkukuhkan kembali strukturnya.

Elok direnung kembali sejarah Si Kitul yang direkodkan dalam sejarah Melayu. Nafsu, fitnah dan dendam kesumat yang melanda pemerintahan Melaka ketika itu dengan watak utamanya dimainkan oleh Si Kitul.

Pernahkah kita bertanya secara jujur, mengapa Kota Melaka yang digelar Barat sebagai Venice of the East boleh kalah dengan mudah di tangan Portugis?

Sebenarnya, yang menjadi punca kekalahan Melaka disebabkan wujud tali barut iaitu Datuk Syahbandar

Melaka, Raja Mendeliar. Akibat percayakan cakap Mendeliar dan Kitul, Sultan telah membunuh Bendahara Tun Mutahir dan Laksamana Melaka.

Akhirnya, bila orang Melayu Melaka berpecah dan bergaduh sesama sendiri akibat ‘emas’ dan ‘wanita’, orang luar mengambil kesempatan menjajah negeri Me­layu. Kalau benar wujud Si Kitul, ia ibarat barah yang melapah kekuatan mana-mana masyarakat dan negara.

UMNO juga mengambil iktibar kisah Brutus, seorang ahli politik Rom yang disayangi oleh Julius Caesar.

Selepas Perang Pharsalus di mana legion Caesar menewaskan Pompey, Caesar mengarahkan orang-orangnya mencari Brutus - ketika itu memihak kepada Pompey.

Setelah mendapati Brutus masih hidup, Caesar sangat gembira. Kemudiannya Caesar memaafkan Brutus, dan memberi jawatan yang penting dalam pemerintahannya. Brutus bagaimanapun berkonspirasi dengan Cassius dan beberapa orang senator untuk membunuh Caesar.

Brutus berucap dalam usahanya untuk merasionalkan perbuatan beliau membunuh Caesar - orang yang menaikkan beliau dalam politik.

Katanya: Bukan aku kurang menyayangi Caesar tetapi aku lebih menyayangi Rom.