Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya dinasihatkan oleh peguam supaya tidak memberi sebarang komen kerana tidak mahu menjejaskan perjalanan kes tersebut di mahkamah.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya masih tertanya-tanya dan terkejut kerana tiba-tiba nama Pengerusi Bersih itu dikaitkan sebagai sumber dalam isu berkenaan.

“Perkara ini menjadi persoalan kerana selama ini Ambiga tidak pernah bercakap dalam isu dana RM90 juta ini.

“Apabila Brown menamakan Ambiga sebagai sumber, ia menjadi satu kejutan kepada Pas. Namun kita serahkan kepada mahkamah dan tidak mahu menganggu perjalanan kes ini,” katanya ketika ditemui selepas mesyurat exco di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Brown yang juga pengasas Sarawak Report menamakan Ambiga sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan Pas menerima wang daripada Perdana Menteri.

Brown dilaporkan berkata, Ambiga memberitahu mengenai Najib, Pas dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepadanya pada Julai tahun lalu selain menjelaskan bahawa sumbernya itu boleh dipercayai.

Pada April lalu, Pas menfailkan saman fitnah berhubung fitnah terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu berkenaan di Mahkamah Tinggi London.

Dalam saman tersebut, Abdul Hadi mendakwa beliau telah difitnah dalam rencana Sarawak Report bertajuk As Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connection bertarikh 6 Ogos, 2016.

Rencana itu mendakwa wang itu bertujuan menyogok Pas untuk menyebelahi Barisan Nasional (BN). - UTUSAN ONLINE