Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan segala kerosakan yang berlaku terhadap Pas, Ambiga tidak seharusnya bersikap ‘membaling batu sembunyi tangan’.

‘‘Dari dulu kita tahu sikap Ambiga ini yang hanya berani di belakang dan tak berani bila di depan. Kalau dia terus elak bertemu wartawan, ertinya dia tidak punya keberanian.

‘‘Kalau berani, tunjukkan bukti. Oleh kerana perkara ini dah terdedah, dia perlu berani bertanggunghawab terhadap semua data dan maklumat yang diberi kepada Sarawak Report,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baharu di Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Dalam dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober lalu, Brown menjelaskan Pengerusi Bersih itu memberitahu mengenai Najib, Pas dan isu 1MDB kepadanya pada Julai tahun lalu.

Menurut Brown, Ambiga me­nyatakan kepadanya bahawa sumbernya itu boleh dipercayai dan menjangkakan jumlah yang dibayar berjumlah kira-kira RM90 juta.

Ahmad Zahid menambah, Ambiga seharusnya tampil menjelaskan kedudukan sebenar kerana permintaan maaf semata-mata tidak mampu untuk menjernihkan keadaan.

‘‘Sebagai bekas Presiden Maj­lis Peguam, Ambiga tidak sepatutnya bersembunyi. Kenapa mesti menuduh tanpa bukti kera­na tindakan itu mendatangkan kesan yang amat besar kepada pihak tertentu.

Ahmad Zahid berkata, pendedahan berhubung perkara itu membuktikan Sarawak Report yang selama ini menjadi modal pembangkang untuk menghentam kerajaan, bukanlah agensi berita yang berkredibiliti.