Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam itu perlu meminta maaf kerana menuduh pemimpin kanan Pas menerima wang sebanyak RM90 juta daripada pemimpin nombor satu negara.

Kata beliau, sebagai seorang peguam yang memperjuangkan nllai-nilai integriti dan kebenaran, Ambiga perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan memberi maklum balas atas segala tuduhan yang dibuat terhadap Pas kerana perbuatannya itu jelas mempunyai unsur-unsur fitnah.

“Ambiga kena jawab segera dan minta maaf. Kami (Pas) bersedia 25 jam sehari untuk disiasat, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan tidak hebat dalam melaksanakan tugas, mereka boleh siasat kami bila-bila masa jika benar dakwaan tersebut.

“Jika terbukti terdapat ahli atau pemimpin Pas memang terlibat dalam salah laku tersebut, kita akan terajang terus mereka supaya keluar daripada parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Idris mengulas mengenai tindakan pengasas dan editor, Sarawak Report, Clare Rewca­stle-Brown yang menamakan Ambiga sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan pemimpin Pas menerima wang daripada Perdana Menteri berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), semalam.

Tegas Idris, tuduhan yang dilemparkan Brown itu jelas membuktikan portal antarabangsa itu memang mempunyai niat jahat terhadap Pas.

“Soal duit ini, transaksi keluar masuk boleh tengok dengan mudah sebab kita mempunyai sistem terhadap semua akaun. Tiba-tiba Sarawak Report boleh keluarkan dakwaan berdasarkan maklumat daripada sumber sahaja.

“Nampak sangat Sarawak Report memang ada niat jahat dengan Pas, tak dapat nak cari keburukan berkaitan de­ngan perempuan mereka cuba pula mengaitkan dengan isu berkaitan rasuah dan duit. Malang sungguh mereka ini,” katanya.