Seperti yang dijelaskan oleh Naib Presiden Amanah, DR. HASAN BAHROM, mereka masih lagi bersuara cuma kini dilakukan mengikut saluran yang betul.

Ikuti temu bual Ahli Parlimen Tampin itu bersama wartawan Utusan Malaysia, FARHANA JONI dan jurugambar, SAIFUL BAHARI ASHARI di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

UTUSAN: Amanah dilihat masih belum dapat menyaingi Pas daripada segi perjuangan memperkasakan Islam. Komen Yang Berhormat (YB)?

HASAN BAHROM: Kita lihat memang berbeza antara Pas dan Amanah kerana kami melihat pada sudut kesederhanaan. Pendekatan Pas memang tak sesuai dengan apa yang Ama­nah bawa sebab Amanah menggunakan kaedah rahmatan lil alamin, iaitu tidak nampak dari­pada sudut ekstremisme dalam mempertahankan Islam tetapi kesederhanaan, keharmonian antara kaum dan memastikan supaya Islam boleh diterima oleh semua pihak. Kalau guna kaedah Pas, daripada sudut islamik memang jelas, tetapi penerimaan masyarakat bagaimana pula?

Bagaimana Amanah dapat menyumbang dalam usaha menjaga kepentingan Islam di Malaysia termasuk daripada segi memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah?

Kita tak lari daripada Perlembagaan Persekutuan. Kita harus mempertahankan Perkara 3 iaitu agama Islam sebagai agama Persekutuan. Seterusnya, pendekatan Amanah bukan hanya menggunakan hukum tapi menstrukturkan pentadbiran mahkamah syariah secara keseluruhan meliputi kakita­ngan, bidang kuasa dan fasiliti. Itu lebih penting dan apabila sudah sempurna, baharu kita menekankan terhadap hukum-hakam.

Pemimpin-pemimpin Ama­nah seperti Mazlan Aliman dahulu lantang menyuarakan isu-isu berkaitan rakyat. Kini, agak jarang kedengaran.

Saya tidak nampak sebarang terencat pembelaan kepemimpinan Amanah dalam memperjuangkan isu-isu ma­syarakat, cuma mungkin tidak lagi mendapat liputan meluas. Dahulu, kita belum memerintah, suara-suara rakyat didengari malah lama-laman web atau blog kerap bercerita mengenai isu tersebut. Tetapi apabila kita memerintah, mungkin ada saluran-saluran yang betul dan mengikut kerajaan. Tidak perlu lagi mengemukakan lagi isu yang begitu terdedah, ada saluran yang boleh digunakan.

Pada pandangan YB sendiri, adakah kerajaan PH berjaya menangani isu kos sara hidup yang amat meresahkan rakyat?

Setakat ini, kalau melihat daripada kupasan atau pembentangan yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mungkin kita belum lagi mampu menyelesaikan segala isu secara keseluruhan tetapi sedikit sebanyak usaha-usaha itu telah dilakukan, se­perti bantuan kewangan untuk masyarakat Felda ketika Hari Raya Aidilfitri dahulu. Walaupun tidak banyak seperti yang disumbangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi kerajaan mampu juga.

Selepas 100 hari PH mentadbir negara, semakin ramai yang memperkatakan tentang janji-janji yang belum dipenuhi. Ti­dakkah kegagalan menunaikan janji akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan?

Saya nampak ini hanya permainan beberapa pihak. Sebenarnya banyak isu yang telah kita selesaikan, misalnya isu cukai barang dan perkhidmatan (GST). Pemberian insentif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah pun sudah dilaksanakan. Perbada­nan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula, perlu selesaikan dahulu masalah me­reka yang disenaraihitamkan.

Harga minyak daripada tempoh pilihan raya hingga hari ini berada pada tahap yang stabil, walaupun harga minyak dunia tidak menentu dan meningkat, bermakna kita masih mampu memberi subsidi. Ya, mungkin ada beberapa isu yang perlu dilihat seperti menghapuskan tol. Kita memang tak mampu hendak melaksanakannya se­bab perlu kajian yang mendalam.