Presidennya, Mohamad Sabu berkata, meskipun baharu ditubuhkan, parti itu kini mendapat perhatian dan menunjukkan pe­ningkatan keahlian memberangsangkan dari semasa ke semasa.

“Pada masa ini, kita mempunyai lebih 100,000 ahli dan menjelang Disember ini kita harap keahlian baharu mence­cah 50,000 orang.

“Keahlian kita menunjukkan peningkatan memberangsangkan khususnya dari Kelantan dan kita turut menerima ramai keahlian daripada masyarakat pelbagai kaum seperti India dan Cina,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketiga Amanah di Dewan Tun Razak, di sini hari ini.

Menurut Mohamad, usaha berterusan sedang dilakukan bagi meningkatkan jumlah keahlian termasuk menerusi pengenalan aplikasi pendaftaran menggunakan telefon pintar.

Dalam pada itu, selebriti Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd. Azwan Mohd. Nor berkata, dia membuat keputusan menyertai Amanah sebelum PRU-14 kerana parti berkenaan dilihat mempunyai hala tuju jelas dalam memartabatkan Islam selain mempunyai ramai golo­ngan ilmuwan.

“Saya lihat Amanah berbeza dengan parti lain dan mempunyai hala tuju jelas dalam membawa masa depan negara serta golongan muda tanpa mengira kaum.

“Ramai sahabat saya daripada golongan profesional yang menyertai Amanah bersemangat dalam pelbagai program sukarela dan membantu golongan memerlukan bantuan,” katanya.