Pengerusi Amanah Negeri Sembilan ,Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata, keputusan tegas itu berikutan pihaknya memandang serius perkara berkenaan kerana ia bertentangan dengan prinsip dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kalau ada mana-mana anggota Amanah terlibat menyokong dia (Mohd Nor) sebagai calon kita akan pecat juga anggota itu kalau ada yang menyokong dan bersekongkol bersama dia.

“Kita sudah beritahu setiap perbuatan kita mesti bersama dengan dasar perjuangan kita sebab kita dalam PH, kita tidak boleh mengkhianati kawan-kawan kita sebab itu kita serius dalam PH, we are solid, kita satu pasukan, satu badan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa mengumumkan keanggotaan Mohd Yasin dalam Amanah gugur secara automatik susulan tindakannya bertanding sebagai calon bebas pada PRK DUN Rantau.

Difahamkan, Mohd. Nor menyertai Amanah sebagai anggota biasa di cawangan Kampung Sega pada 10 Mac lalu.

Mengenai dakwaan bahawa penglibatan Mohd Nor adalah disebabkan Amanah negeri mempunyai masalah dengan calon PH kali ini, Zulkefly menafikan perkara itu dan menegaskan bahawa pihaknnya akan memastikan jentera parti bertugas 100 peratus untuk memastikan kemenangan PH.

“Kita akan tambah kekuatan kita untuk pastikan kemenangan calon PH Dr S Streram dan setakat ini kita bertugas di empat Unit Peti Undi dan setiap masa kita ada 50 orang yang menggerakkan jentera kita kempen rumah ke rumah dan kempen bertemu masyarakat dan rakyat,” katanya.

PRK Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Dr S. Streram, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dari BN dan dua calon bebas iaitu surirumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd. Nor.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah PilihanRayaSeremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah. - BERNAMA