Setiausaha Agungnya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir berkata, berdasarkan semakan keahlian, Mohd. Nor merupakan ahli Amanah yang baru menyertai parti itu.

“Saya mengambil maklum laporan berkaitan calon Bebas bagi PRK Rantau yang menimbulkan kekeliruan mengenai status keahlian parti politiknya.

“Menurut tatacara perlembagaan Amanah, Jawatankuasa Pengurusan parti akan mencadangkan pemecatan beliau kepada Jawatankuasa Tatatertib kerana telah bertanding tanpa menerima watikah pelantikan calon daripada parti.

“Sementara menanti keputusan jawatankuasa itu, semua ahli dan penyokong Amanah yang bertugas dalam PRK Rantau diarahkan hanya membantu kempen calon Pakatan Harapan, Dr. S. Streram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Mohd. Nor, Streram, Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional) dan seorang lagi calon Bebas, R. Malarvizhi.

Mohd. Nor yang merupakan bekas ahli Pas mendakwa bertanding kerana mahu menegakkan kepemimpinan Islam dan berharap ahli Pas mengundinya. - UTUSAN ONLINE