Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sega Hulu, Abdul Hafiz Mohd. Ali berkata, walaupun akur dengan keputusan pimpinan PKR, beliau meramalkan Streram mempunyai peluang tipis untuk memenangi kerusi berkenaan.

Katanya, bantahan seramai 11 pengerusi dan setiausaha MPKK DUN Rantau baru-baru ini yang menolak Streram ternyata tidak diambil perhatian oleh pihak atasan.

"Saya telah hantar pesanan WhatsApp kepada Pengerusi PKR negeri (Datuk Seri Aminuddin Harun) dan Setiausaha Politik beliau berhubung perkara itu. Tetapi mereka tidak balas.

"Kami berjumpa penduduk kampung setiap hari dan mereka tidak mahu Streram jadi calon. Terpulanglah kepada rakyat untuk menghukum kita kerana tak mahu mendengar suara mereka. Rakyat akan tentukan sama ada keputusan kita betul atau salah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pemilihan Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau itu sebagai calon PH dalam PRK pada 13 April nanti.

Abdul Hafiz adalah antara 11 pengerusi dan setiausaha MPKK DUN Rantau yang baru-baru ini mengadakan sidang akhbar menolak Streram dicalonkan, sebaliknya meminta PH memilih calon Melayu bertanding kerus tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Streram dipilih dengan harapan untuk meraih undi daripada pengundi kaum India dan Cina di DUN berkenaan

Bagaimanapun, dakwanya, strategi itu mungkin tidak akan berhasil kerana ramai pengundi dari dua kaum itu diketahui tidak menyokong pakar bius tersebut.

Katanya, sebagai orang lama dalam PKR, kesemua pengerusi dan setiausaha MPKK tetap setia dan menerima keputusan parti, malah telah menghadiri perbincangan berhubung PRK DUN Rantau di pejabat parti itu di Rembau malam tadi. - UTUSAN ONLINE