Ujar beliau, sikap ber­kenaan bagaimanapun telah dapat dikikis dalam tempoh yang singkat kerana anggota-anggota pentadbirannya telah menyedari tanggungjawab selaku kerajaan.

“Kita tahu bahawa baru-baru ini kita telah ada perubahan kerajaan dan perubahan ini dilakukan setelah 61 tahun pihak pembangkang tidak dapat mendirikan ke­rajaan.

“Dengan itu, mereka mempunyai sikap pembangkang apabila mereka menjadi kerajaan, sifat-sifat yang lama ini muncul dan mempengaruhi fikiran mereka.

“Tetapi dalam jangka masa yang pendek juga, mereka sudah buat penyesuaian, sekarang ini mereka sedar mereka sudah jadi pemerintah,” katanya ketika berucap dalam majlis Penyerahan Felo Perdana 2018 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta barisan menteri Kabinet.

Program Felo Perdana yang memasuki penganjuran kali keenam tahun ini melibatkan 60 graduan serta siswazah yang terdiri daripada 43 lelaki dan 17 perempuan. Mereka akan mengikuti program mentor di bawah setiap menteri bagi tempoh antara enam minggu dan tiga bulan.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir mengingatkan generasi muda untuk sentiasa membuat persediaan bagi mewarisi kepemimpinan negara, tidak kira sama ada selaku kerajaan atau pembangkang.

“Bagi generasi yang muda, kita perlu buat persediaan supaya kalau pun kita tidak jadi pemerintah, kita jadi pembangkang yang kita tahu apa yang hendak dibangkang, dan kalau kita jadi pemerintah, maka kita akan tahu bagaimana berlagak sebagai pemerintah,” katanya.

Beliau memberitahu, peluang sentiasa terbuka untuk generasi muda terlibat secara langsung dalam hal pentadbiran negara.

“Mana tahu, akan lahir seorang lagi menteri muda daripada program ini tidak lama lagi sebagaimana Menteri Belia dan Sukan kita hari ini yang juga merupakan alumni Felo Perdana,” katanya merujuk kepada Syed Saddiq.

Sementara itu, kata beliau lagi, generasi muda juga perlu mempelajari daripada generasi terdahulu yang mempunyai banyak pengalaman untuk dimanfaatkan bagi memacu masa hadapan negara.