Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, tindakan memalukan tersebut jelas mempunyai kepentingan politik untuk tujuan propaganda sempit.

“Kita sudah sedia maklum yang mereka ini adalah suara pihak pembangkang. Bagi saya jika benar mereka memperjuangkan nasib rakyat bawalah isu kebajikan atau keselamatan serantau dan bukannya menyerang kerajaan semata-mata.

“Bercakap mengenai kebebasan media dan hak asasi, saya rasa di Malaysia ini segala saluran boleh digunakan untuk menyalurkan pendapat sehingga timbul banyak fitnah yang berleluasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan pemimpin NGO negara ini yang mengadakan pertemuan dengan Obama dan mengemukakan beberapa isu dalaman negara termasuk hukuman penjara ke atas bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mendakwa sistem demokratik di negara terjejas kerana dasar kerajaan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah yang turut mengaitkan NGO lain yang dikatakan prokerajaan juga sebagai biadab dan tidak beretika.

“Siapa dia untuk memburukkan nama NGO lain? Perkasa juga mempunyai pendirian dan akan menegur kerajaan jika terdapat kesalahan yang dilakukan. Tidak seperti beliau yang kononnya ‘bersih’ tetapi sebenarnya hanya berpihak di satu pihak tidak kira be­tul atau salah. Itukah yang dikatakan telus,” soalnya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, aktivis dan NGO propembangkang sengaja mengadakan pertemuan dengan Obama semasa tumpuan media seluruh dunia kepada Malaysia untuk memburukkan nama negara.

“Pertemuan yang mereka lakukan ini nyata berniat jahat dan saya tidak boleh menerima mengapa mereka ingin lakukannya di saat kita sedang menjadi Pengerusi ASEAN manakala semua media antarabangsa sedang menumpukan kepada kita.

“Sekarang seluruh dunia telah melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang penuh rasuah sedangkan isu 1MDB masih dalam siasatan dan saya percaya mereka tidak menunjukkan bukti semasa pertemuan itu,” katanya.