Hamizan Hassan
Hamizan Hassan

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kangar, Hamizan Hassan berkata, seiring dengan suasana Malaysia baharu, seluruh barisan pemuda juga mahu melihat UMNO berwajah baharu dengan menampilkan calon paling sesuai untuk membawa perubahan yang mana sudah tentunya calon itu ialah Khairy.

Katanya, dalam keadaan UMNO sekarang, parti bukan sahaja memerlukan sokongan ahli sebaliknya kehendak rakyat yang rata-rata menyokong Khairy.

“Kita Pemuda UMNO Kangar menyokong penuh hasrat Khairy bertanding jawatan Presiden UMNO. Pada pilihan raya baru-baru ini kita dapat lihat saluran orang muda tidak menyokong Barisan Nasional (BN) dan ini masanya untuk kita kembali mendapatkan sokongan golongan ini.

“Untuk hasrat Khairy bertanding jawatan Presiden, lebih kurang pemuda di 60 bahagian menyokong langkah Khairy itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Semalam Khairy mengumumkan bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu, pada 30 Jun ini.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut mengesahkan bertanding bagi jawatan Presiden UMNO.

Turut mengumumkan untuk bertanding jawatan tersebut sebelum ini ialah, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan blogger, Rahmat Azim Abdul Aziz.

Tambah Hamizan, meskipun mengakui Tengku Razaleigh dan Ahmad Zahid mempunyai kekuatan, pengaruh dan pengalaman tersendiri namun dalam suasana Malaysia baharu ini, perubahan perlu dilakukan di dalam parti. - UTUSAN ONLINE