Muhammad Aiman menjelaskan, beliau tidak 'hilang' dan tetap melakukan aktiviti lawatan kerja serta berkempen seperti biasa.

Jelasnya, mungkin wujud salah faham dan kesilapan teknikal sehingga jadual aktivitinya hari ini tidak diuar-uarkan kepada media.

“Saya ada. Pagi-pagi saya solat Subuh di Bandar Sri Putra dan saya berjalan-jalan di Bandar Sri Putra. Kemudian, saya pergi ziarah kematian, ke Penjara Kajang dan ke sini.

“Itu mungkin ada masalah teknikal sikit dekat situ. Mungkin info itu tak sampai. Saya tetap berkempen macam biasa,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dirinya sedar bahawa pengamal media tidak mengekorinya sejak pagi tadi, Muhammad Aiman menjawab, hal itu disedarinya.

Beliau malah memberitahu bukan berada di bawah tekanan atau murung seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak.

"Tinggal lagi empat hari. Kita nak all out (berhabis-habisan) untuk kempen kali ini.

“Esok kita akan pastikan info pergerakan saya akan dimaklumkan kepada media,” ujarnya.

Muhammad Aiman turut memohon maaf di atas perkara yang berlaku dan berharap ia tidak berlaku lagi. - UTUSAN ONLINE