Menurut mereka, keperibadian itu terserlah apabila Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyerahkan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan menjalankan tugas-tugas Presiden parti bagi menyelamatkan UMNO daripada terus berpecah dan demi penyatuan ahlinya.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim berkata, UMNO bahagian itu mengucapkan terima kasih kerana Ahmad Zahid telah meletakkan kepentingan parti lebih penting dengan mengambil keputusan sukar bagi dirinya.

“Pada masa yang sama, kami percaya Mohamad mampu menggalas tanggung jawab meneruskan kepimpinan UMNO dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa berkata, bukan mudah bagi Ahmad Zahid membuat keputusan berkenaan tetapi meneruskannya bagi memastikan bukan saja kelangsungan perjuangan parti tetapi UMNO dapat bangkit daripada kejatuhan.

“UMNO bahagian ini juga percaya Mohamad akan dapat meneruskan pentadbiran parti dengan baik dan kembali menyatupadukan parti. - UTUSAN ONLINE