Pengerusi Gerakan Negeri, Datuk Dr. Cheah Soon Hai berkata, peringatan tersebut merupakan antara perkara yang ditekankan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bagi memastikan parti kekal berkuasa di peringkat negeri dan Persekutuan.

"Dalam ucapannya, Ahmad Zahid mahu semua pihak supaya berlapang dada menerima siapa jua calon yang terpilih mewakili parti pada PRU nanti.

"Selain itu beliau juga mahu semua parti komponen memiliki semangat juang yang tinggi dan tidak terlalu mengharapkan UMNO selaku tulang belakang BN untuk meraih sokongan. Dalam masa sama, beliau mengingatkan pemimpin UMNO di peringkat negeri supaya terus membantu parti-parti komponen," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas selesai Majlis Taklimat Persiapan 2.0 menjelang PRU-14 di Bangunan Tunku, di sini malam tadi.

Ahmad Zahid yang hadir bersama isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis tiba kira-kira pukul 9 malam dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah serta isteri, Datin Seri Hizam Awang Hamad.

Sementara itu, Ketua Wanita BN negeri, Datuk Syarifah Maznah Syed Kassim berkata, Ahmad Zahid dilihat mempunyai keyakinan tinggi terhadap kemampuan jentera BN di Kedah untuk terus menerajui negeri.

"Jentera di Kedah telah digerakkan lebih awal sejak beberapa tahun lalu termasuk dalam proses mendaftarkan pengundi.

"Dari nada percakapannya, beliau tampak yakin dengan BN Kedah. Insya Allah keyakinan itu akan realisasikan pada PRU nanti," katanya.

Setiausaha Kerja BN negeri, Datuk Ariffin Man pula memberitahu, Naib Presiden UMNO itu turut mengingatkan jentera parti agar terus berusaha keras dan fokus dengan tugasan serta tanggungjawab masing-masing.

"Ertinya kalau sudah jadi ketua daerah mengundi, jangan sama sekali jadi pemandu kenderaan. Kena faham tugas masing-masing supaya pergerakan jentera disusun dengan betul dan tepat.

"Dalam masa sama beliau tak mahu kita berasa selesa," katanya. - UTUSAN ONLINE