Jelas Presiden UMNO itu lagi, beliau tidak dapat untuk mengingati semua perkara namun sekiranya perkara tersebut mempunyai kebenaran, kerajaan pada hari ini perlu membuat siasatan.

"Saya kena semak semula rekod, tidak semua saya ingat dan kalau perkara itu ada kebenarannya maka saya fikir kerajaan yang ada sekarang harus melakukan siasatan.

"Kita tidak pernah berkompromi dengan aktiviti judi, apa judi pun adalah haram dari sisi Islam," katanya ketika ditemui pemberita selepas program sembang santai di sebuah restoran di pekan Semenyih di sini malam ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini menjelaskan lawatan kerja delegasi Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki adalah atas tajaan sebuah syarikat perjudian dan telah diluluskan semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, mengulas dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Pas menolak untuk memberikan sokongan kepada UMNO semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa rakyat boleh mentafsirkannya kebenarannya.

"Jelas dari kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang tidak menggambarkan kenyataan itu benar.

"Maka cukuplah kalau perkara perkara yang tidak benar dinyatakan sebagai sesuatu yang benar, maka tentu rakyat boleh membuat tafsiran terhadap sesuatu isu itu akan kebenarannya," katanya.

Dalam pada itu, menurut Ahmad Zahid, beliau sudah tiga kali turun ke Semenyih sempena berlangsungnya PRK di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

"Ini kali ketiga saya turun, saya tidak turun sebagai membantu jentera UMNO atau BN tetapi saya datang sebagai individu dan kehadiran dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Walaupun saya bercuti, saya tidak pernah bercuti sebagai ahli UMNO," katanya sambil memberitahu akan memaklumkan waktu untuk kembali sebagai Presiden UMNO selepas mengambil keputusan bercuti pada akhir tahun lalu. - UTUSAN ONLINE