Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Naib Presiden UMNO.

Ahmad seterusnya mengucapkan setinggi terima kasih atas kepercayaan yang diberi oleh pucuk pimpinan UMNO untuk menerajui UMNO Terengganu sekali gus meneruskan perjuangan serta hala tuju parti.

"Surat pelantikan telah pun dikeluarkan hari ini dan saya ucap terima kasih kepada pucuk pimpinan UMNO kerana beri kepercayaan kepada saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal seterusnya berjanji untuk berusaha lebih gigih dengan penglibatan semua pihak dalam parti bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat Terengganu terhadap UMNO.

Berdasarkan pengalaman menerajui kerajaan serta parti sebelum ini, beliau percaya UMNO khususnya di Terengganu yang nasibnya umpama dilanda `tsunami' akan bangkit semula dalam memenangi hati rakyat.

"Yang penting saya akan turun ke bahagian-bahagian dengan mengadakan mesyuarat peringkat bahagian masing-masing dalam waktu terdekat ini.

"Esok saya akan berbincang dengan Datuk Seri Mahdzir bagi mendapatkan persetujuan beliau untuk sama-sama hadir pada mesyuarat pertama Perhubungan UMNO Terengganu tidak lama lagi," jelasnya. - UTUSAN ONLINE
Kenyataan media