Menurut Ahmad Razif, tindakan itu akan memudahkan proses tersebut dan beliau akan memberi sokongan padu kepada mereka yang bersedia memikul tanggungjawab kelak, malah yakin suatu permulaan baharu bagi UMNO dapat dicorakkan untuk kembali mendapat keyakinan rakyat.

"Ini juga selaras dengan hasrat ahli-ahli parti yang inginkan permbaharuan untuk bangkit semula dalam tempoh lima tahun ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," ujarnya sambil mengambil contoh kejayaan yang pernah dicapai semula selepas tewas pada tahun 1999.

Katanya, buat masa sekarang, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus kalau tiada mana-mana calon bertanding.

"Saya  akan memberikan sepenuh laluan terutama kepada orang-orang muda sekiranya ada sanggup menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut," katanya yang juga tidak akan menawarkan diri dalam pemilihan di 

peringkat Pusat.

Ahmad Razif  yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan negeri Seberang Takir berkata demikian ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama ahli-ahli Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) di sebuah restoran di sini malam ini.

Menurut Ahmad Razif, dalam masa sekarang apa yang penting ialah rakyat ingin melihat perubahan, maka beliau perlu menunjukkan contoh kepada orang muda.

"Yang pasti saya tidak akan bertanding dan memberikan laluan sepenuhnya sekiranya ada calon-calon muda yang menawarkan diri untuk bertanding.

"Apa yang penting sekarang bukan jawatan tetapi adalah untuk mengembalikan semula solidariti dan mengukuhkan kesetiaan dalam UMNO,"katanya.

Bagi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri pula, Ahmad Razif memberitahu, beliau ada berbincang dengan Pemangku Presiden parti, Datuk Seri  Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Namun katanya, Ahmad Zahid meminta semua Pengerusi Perhubungan Negeri bersabar dengan menggalas dahulu jawatan masing-masing buat sementara waktu.

Beliau memberitahu, antara nama yang dicadangkan mengambil alih jawatan tersebut ialah dua bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said, selain  Datuk Rosol Wahid, Datuk Rozi Mamat dan Datuk Pehemi Yusoff.

Mengulas mengenai jawatan di peringkat Pusat, Ahmad Razif menyambut baik hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

"Kita mengalu-alukan hasrat Ahmad Said dan memberi sokong penuh terhadap beliau, termasuk membantu dari segi kempen," ujar beliau.-UTUSAN ONLINE