Beliau juga berpandangan, sekiranya terdapat laporan polis atau laporan terhadap ahli parti dibuat, pihak polis serta kepemimpinan parti itu perlu menjalankan siasatan.

Ahmad Faizal berkata, beliau masih lagi fokus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dan tidak percaya wujud mana-mana pihak dalam Pakatan Harapan untuk menjatuhkan kerajaan yang telah mereka usahakan sejak berpuluh-puluh tahun kerana mereka tidak mahu peristiwa rampasan kerajaan pada tahun 2009, berulang kembali.

"Semua barisan exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan bukan bodoh. Rakyat telah memilih dan tentunya mereka mempunyai kelebihan sebagai pemimpin dan wakil rakyat. Saya amat yakin meraka tidak akan mengkhianati harapan daripada rakyat.

"Saya tidak tanya lagi (kepada Abdul Aziz akan perkara ini). Jika ada mana-mana exco atau ADUN yang tidak mengikut arahan diberikan oleh parti, saya akan menyoal mereka dan ambil tindakan seterusnya, tetapi setakat hari ini, tiada ADUN Pakatan Harapan atau exco yang bertindak secara kasar, yang saya nampak. Yang saya tidak nampak, saya tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, tuduhan yang dilempar oleh Saarani itu tidak dibuktikan melalui pandangan mata kasarnya, justera beliau tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana ia perlu dilakukan secara penuh bertanggungjawab.

"Kalau ada ADUN Pakatan Harapan yang melompat parti dan pergi bekerjasama dengan UMNO dan Pas untuk menubuhkan kerajaan yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan, itu bukan satu tindakan yang bijak.

"Begitu juga kalau kita sudah ada kerajaan dan ingin menjatuhkan kerajaan ini, juga pada pandangan saya, bukan sesuatu yang bijak,” katanya. - UTUSAN ONLINE