Ahmad Faizal berkata, beliau telah beberapa kali menyertai program DAP dan ramai dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemimpin dari parti tersebut menyambutnya dengan baik.

Malahan katanya, dalam program dua hari berturut-turut di Manjung sejak Jumaat lalu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dari DAP, turut sama menyertai beliau tanpa sebarang masalah.

“Saya rasa ini sekadar khabar angin yang cuba dibangkitkan oleh orang ramai. Ia tidak betul dan tidak mengapa, orang boleh bercakap apa juga tetapi saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan cukup baik.

“Saya tidak menipu, saya tidak cakap dari segi politik atau pun semata-mata hendak menyejukkan keadaan kerana ini adalah keadaan yang sebenar. Kalau ada masalah, saya akan cakap (terus-terang),” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian ketika ditemui selepas mengedarkan buah limau mandarin kepada penduduk setempat bersempena perayaan Tahun Baharu Cina di sekitar pekan Chemor di sini hari ini.

Ahmad Faizal diminta mengulas status di laman Instagram pemerhati_melayu baru-baru ini yang memuat naik status berbentuk pentanyaan tertulis ‘Kabo (khabar) angin ngatakan MB Peja kalau program dianjurkan oleh DAP tak boleh pergi atau dijemput, kononnya tak nak Cina sokong Peja, betul ke?’ - UTUSAN ONLINE