Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, kerjasama boleh dibentuk berdasarkan perjuangan UMNO dalam mendaulatkan agama dan bangsa cukup hampir dengan pendekatan yang diambil Pas.

"Maka tidak ada jalan melainkan untuk menghampiri Pas, di waktu kita sedang mengambil satu kaedah untuk bekerjasama dalam kebajikan, kebaikan, bangsa, bahasa dan agama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Kempen Pencegahan Kesalahan Jenayah Syariah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di panggung wayang, Paya Bunga (PB) Sentral, di sini petang tadi.

Yang hadir sama, Ketua Penolong Pesuruhjaya Penguatkuasaan JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail.

Mohd. Nor turut menyifatkan tindakan beberapa Ahli Parlimen dan pemimpin UMNO yang keluar daripada parti itu sejak kelmarin diumpamakan sebagai semut yang mencari gula.

Katanya, keadaan tersebut berkemungkinan disebabkan sikap segelintir pemimpin yang tidak biasa dihimpit kesusahan seperti yang dihadapi pada masa ini.

"Pemimpin UMNO tidak biasa berada dalam keadaan susah, sekarang ini mereka tidak ada kuasa.

"Jadi mereka mencari ruang di mana ada gula di situ akan cari ruang," katanya. - UTUSAN ONLINE