Naib Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu berlandaskan hakikat UMNO meletakkan masa depan parti di tempat paling tinggi me­ngatasi pergeseran atau perbalahan yang wujud.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, adalah penting untuk mana-mana pemimpin UMNO, sama ada yang mempunyai jawatan atau ahli biasa, mengambil sedikit masa melihat kepada usaha memperkukuhkan parti secara keseluruhannya.

“Kita memahami kegelisahan para perwakilan yang menyentuh mengenai kemelut dalam parti ketika berbahas sama ada secara berterus-terang atau berkias.

“Teguran sebegini adalah perkara lazim dalam setiap kali Perhimpunan Agung UMNO sebagai suara hati mereka untuk diambil oleh ke­pimpinan sebagai panduan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ditanya mengenai desakan perwakilan untuk melihat Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpeluk di pentas perhimpunan kali ini sebagai tanda berdamai, Ahmad Zahid berkata, perkara sebegitu perlu dilihat kepada kesesuaian suasana.

Kata beliau, apa yang lebih penting ketika ini bukanlah tindakan berbentuk fizikal, sebaliknya keikhlasan hati dalam menerima perbezaan.

“Bagi saya tidak perlu ada ‘kerelapaksaan’ dalam perlakuan, tetapi tidak lagi mengambil tindakan (bertentangan) selepas ini sebagai tanda kebersamaan yang wujud dalam kepimpinan utama parti,” katanya.

Sementara itu, menyentuh isu sama, Hishammuddin berkata, tanggungjawab merapatkan barisan dalam UMNO tidak hanya terletak pada bahu para pemimpin parti semata-mata, tetapi turut digalas perwakilan yang hadir.

Menurut beliau, perwakilan perlu memainkan peranan menjelaskan kepada ahli-ahli di peringkat cawangan dan bahagian masing-masing apa yang dibincangkan serta diperjelaskan dalam perhimpunan agung kali ini.

“Ini adalah keistimewaan yang dipikul mereka sebagai perwakilan. Jika mereka tidak membantu pe­mimpin parti mewujudkan suasana kondusif dalam parti, maka mereka sendiri sebenarnya mengabaikan amanah merapatkan barisan,” katanya.