Mohamad Taufik Abas

Bekas Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pusat, Mohamad
Taufik Abas berkata, pihaknya akan mengumpulkan semua ahli parti yang teraniaya termasuk mereka yang dipecat daripada barisan kepe­mimpinan parti sebagai membantah mengapa tiada tindakan diambil terhadap PPBM walaupun pelbagai bukti telah dise­rahkan kepada ROS.

Jelas beliau, pihak­nya akan memberi masa selama dua ming­gu bermula hari ini kepada ROS untuk mengambil tindakan terhadap PPBM yang terpalit dengan isu penubuhan sayap pemudanya serta status mesyua­rat agung tahunan (AGM) yang dikatakan tidak mengikut Perlembagaan parti.

“Kami mendesak dan mahukan penjelasan daripada ROS kenapa sampai hari ini tidak ada tindakan sedangkan Pengerusi PPBM sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata, sebanyak 400 laporan telah dibuat berhubung permasalahan parti tersebut.

“Sekiranya dalam tempoh dua minggu ini tiada tindakan diambil, kami tidak teragak-agak berhimpun di ibu pejabat ROS sebagai tanda protes,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir ialah beberapa lagi bekas Exco Armada Pusat terma­suk Muhammad Hafiz Azhar, Muhd. Syazwan Ah­­mad Zainal, Abd. Waha­zir Abd. Wahabi dan bekas Penyelaras Armada Pahang, Raja Mohd. Azlan Raja Omar.

Kebanyakan mereka dipecat daripada jawatan masing-ma­sing sejak tahun lalu menerusi media so­sial kerana mempersoalkan pelbagai isu termasuk kekayaan anak-anak Dr. Mahathir, dasar-dasar pentadbiran bekas Perdana Menteri itu, hala tuju Pakatan Harapan yang diketuai DAP serta dakwaan skandal Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin de­ngan isteri orang.

Mengulas lanjut, Mohamad Taufik bersama beberapa ahli parti itu melahirkan rasa tidak berpuas terhadap ROS sedangkan semua bukti pelanggaran Perlembagaan parti telah dise­rahkan kepada jabatan itu sejak Oktober 2017.