IRMOHIZAM IBRAHIM
IRMOHIZAM IBRAHIM

Malah, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, titah Sultan Selangor itu seharusnya diambil serius oleh semua ahli politik agar tidak terlalu ekstrim sehingga menghasut rakyat untuk membenci bangsa lain.

“Semua ahli politik perlu beringat dan jangan sesekali mempergunakan politik sebagai tiket sentimen perkauman.

“Negara kita tidak harus dipimpin oleh pemimpin yang sentiasa mengamalkan kebencian dan sebagai rakyat kita harus memahaminya secara rohani serta menzahirkan untuk ikutan generasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Oktober lalu, Dr. Mahathir bertindak melabel etnik Bugis sebagai lanun hanya kerana mahu mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap di Padang Timur, Petaling Jaya, namun ucapannya itu mengundang kemurkaan Sultan ­Selangor.

Dalam pada itu, Irmohizam berkata, satu tindakan undang-undang harus diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba menaburkan benih kebencian terhadap bangsa lain seperti yang disarankan Dewan Diraja Selangor.

“Ini kerana, tindakan pihak yang cuba menabur benih kebencian ini boleh menggugat keharmonian rakyat dan negara.

“Oleh itu, siasatan perlulah dilakukan segera agar tindakan keras dapat dilaksanakan sekaligus membendung situasi buruk seperti ketidakharmonian menular,” katanya.