Menurut beliau, perbuatan seumpama itu boleh mengundang perpecahan dan merosakkan imej parti berkenaan.

“Sepatutnya kita menjaga etika dan mengangkat martabat parti bukannya menyerang isu peribadi seseorang. Orang seperti ini perlu ditolak dalam pemilihan parti akan datang.

“Calon yang bertanding jangan khianati parti yang sudah dibina selama 20 tahun dan jangan kita termakan hasutan pihak yang cuba melaga-lagakan kononnya ada individu yang tidak setia,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Bersama PKR Negeri Sembilan di sini malam ini.

Mohamed Azmin berkata, pemilihan yang akan bermula Sabtu ini perlu dijadikan platform bagi mengangkat calon yang telah

bersusah payah demi parti, setia dan terbukti dapat melaksanakan tugas dan amanah selama ini.

Sementara itu, ketika ditemui selepas majlis tersebut, Mohamed Azmin berkata, PKR akan mengadakan perbincangan mengenai gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson esok.

Katanya, salah satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah untuk meyakinkan pengundi tujuan diadakan PRK yang akan memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen.

Ujarnya, PRK tersebut bukannya satu pembaziran seperti didakwa segelintir pihak dan proses peralihan kuasa yang dipersetujui Pakatan Harapan itu diadakan secara tertib. - UTUSAN ONLINE